pengikut

Wednesday, April 25, 2012

Manusia Itu Binatang.


Share/Bookmark
‘Homo Sapiens’, apabila kita mendengar terma saintifik itu, kita dapat tahu bahawa itulah istilah yang digunapakai untuk membuktikan kita ini adalah manusia. Tetapi, adakah terlintas dan terdetik di dalam hati manusia itu sendiri bahawa kita juga digolongkan di dalam kelompok mamalia, iaitu selari dengan kelompok binatang  seperti beruk, orang utan dan sebagainya? Maka tidak hairanlah jika di dada-dada akhbar sering terbit berita mengenai kekejaman dan kebodohan manusia yang disifatkan sebagai berperangai seperti binatang. Adakah melabelkan manusia yang kejam atau bodoh itu sebagai binatang adalah satu frasa yang benar? 

Sejarah lepas telah menunjukkan bahawa, manusia telah terevolusi daripada mawas. Hal ini telah dibuktikan oleh pakar agung di dalam bidang genetik yakni, Charles Darwin. Pada tahun 1858, Darwin dengan bukunya, ‘The Origin’ telah  yang mengemukakan satu  teori di mana spesies yang hidup sekarang berasal dari spesies lain yang hidup di masa lampau. Hal ini menunjukkan bahawa, kita telah terevolusi daripada spesis yang telah wujud sejak zaman dahulu lagi, dan di dalam konteks teori ini, kita telah terevolusi daripada mawas. Walau bagaimanapun, Teori Evolusi Darwin ini telah dikecam hebat termasuk penganut agama seperti Islam dan Kristian yang lebih memegang teguh kepada teori Creationism.

            Namun, itu bukanlah satu alasan kepada manusia sekarang ingin menggunakan frasa ‘binatang’ dan melabelkan ia kepada manusia lain. Memang tidak dinafikan binatang akan dikaitkan dengan sifat mereka yang ganas, tidak berperasaan dan rakus di dalam membuat tindakan. Akan tetapi, juga wujud sifat-sifat yang tidak mungkin wujud di dalam sifat semula jadi manusia seperti mengetahui musuh akan tiba walaupun berada jauh beribu batu. Mungkin ianya satu persepsi yang tidak jelas mengenai manusia yang bersifat binatang itu. Manusia patut sedar bahawa binatang atau haiwan itu hanya bertindak mengikut gerak hati dan tidak mengikut akal kerana hanya itu yang membezakan manusia dan binatang.

          Kes-kes yang sering berlaku seperti pembunuhan, rogol, rompakan dan sebagainya yang sering dijaja di dalam akhbar selalu melabelkan ‘manusia yang berperangai seperti binatang’. Apakah bukti yang menyokong bahawa binatang selalu melakukan pembunuhan, rogol dan rompakan? Menurut satu kes yang berlaku di Gua Musang, seorang gadis, Nurul Hidayah Che Su, 18, telah disepak oleh lelaki yang tidak dikenali sewaktu dia menunggang motorsikal sehingga dia terjatuh ke dalam selut dan mengalami kecederaan di muka. Di dalam laporan itu, penulis telah melabelkan sikap lelaki itu seperti binatang. Penulis telah menggunakan frasa sebegitu sebagai tajuk untuk berita tersebut. Akan tetapi di dalam laporan itu dia tidak langsung mengaitkan antara sikap binatang yang boleh dianggap berkaitan dengan apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu. Penulis juga tidak berjaya membuktikan bahawa wujud binatang yang boleh bertindak sekejam begitu.

Selain itu, kes rogol juga selalu dikaitkan dengan nafsu binatang, seperti di dalam kes di Shah Alam, pada tahun 2009, penulis artikel itu telah menulis “Dengan berpaksikan hawa nafsu binatang, lelaki berusia lingkungan 30an itu seolah-olah dirasuk iblis hinggakan tergamak melakukan perbuatan itu terhadap seorang nenek yang sebaya usia ibunya.” Di sini kita dapat lihat, penulis melabelkan pelaku salah itu sebagai manusia bernafsu binatang akan tetapi penulis juga melabelkan pesalah itu seperti dirasuk iblis. Adakah dia ingin menceritakan bahawa binatang yang bernafsu itu adalah iblis? Jika kita mengkaji sikap dan sifat haiwan itu sendiri, ianya adalah respon daripada sistem biologi yang wujud di dalam badan mereka sama seperti manusia akan tetapi yang membezakan kita dan haiwan adalah akal.

Bukankah Allah telah berfirman di dalam Surah At Tiin, Ayat 4-5.“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah” . Jadi mengapa kita perlu merendahkan martabat kita untuk berada di tahap yang sama seperti binatang? Walhal kita perlu melihat sendiri kesalahan manusia itu sendiri kerana ianya tidak ada perkaitan langsung dengan binatang juga ciptaan Allah yang kaya dengan kelebihan tersendiri. Mungkin ada maksud tersirat yang cuba Allah sampaikan kepada kita akan tetapi cuma kita yang mudah terleka dan menyalahi orang lain jika kita ditimpa musibah.

Dalam sedar tak sedar, manusia itu sendiri yang lupa mengenai asal usul tingkah laku mereka.  Setiap kali belajar mengenai cara hidup di dunia ini, bukankan kita akan mengkaji tingkah laku binatang itu sendiri dan akan dipraktikkan kepada tingkah laku manusia. Sebagai contoh yang jelas, jika kita di dalam hutan, kita akan mempelajari bahawa sesuatu buah itu beracun atau tidak dengan melihat burung yang memakan buah itu. Jika kelihatan burung memakan buah itu, maka buah itu tidak mengandungi racun. Selain itu, kita ambil contoh, kita sebenarnya mengikut cara monyet memakan pisang kerana cara bukaan kulit pisang itu sendiri kita belajar daripada tingkah laku monyet itu sendiri. Di sini jelas menunjukkan bahawa kita sebenarnya belajar tentang ilmu dunia melalui perihal binatang yang sedia ada. Malah kita patut malu apabila kita yang berakal ini tidak dapat membuat keputusan yang lebih elok berbanding dengan binatang.

Agama Islam juga telah mengajar kita mengenai erti mempelajari sesuatu daripada haiwan. Seperti kisah agung yang telah diketahui ramai, mengenai pembunuhan pertama di muka bumi ini yakni kisah pembunuhan Habil. Habil telah di bunuh oleh saudara kandungnya sendiri, Qabil. Apabila Habil telah dibunuh, Qabil mula mencari cara untuk menutupi mayat Habil. Dengan kuasa Allah, Qabil telah diperlihatkan burung gagak yang mengorek tanah dan mengambuskan gagak yang sudah mati lalu mengambuskan ia dengan menggunakan tanah. Di sini kita dapat lihat bahawa kisah ini mengajar kita manusia masih memerlukan sesuatu untuk membuat kita lebih arif tentang kehidupan. Malah kisah ini juga membuktikan bahawa haiwan itu tidaklah menjadi satu simbol kekejaman dan keganasan tetapi manusia itu sendiri yang kejam dan ganas.

            Saluran National Geographic dan Animal Planet sering menyajikan rancangan kepada khalayak mengenai tingkah laku haiwan. Di situ kita dapat lihat adakah wujud persamaan persepsi manusia tentang keganasan manusia dan juga binatang. Jika kita betul-betul menonton segala rancangan yang ada itu, baru kita faham bahawa haiwan yang dimakan oleh haiwan lain itu hanya mengikut naluri mereka, sama seperti kita memakan haiwan seperti ayam lembu dan kambing. Cuma, manusia yang tersalah erti mengenai sifat-sifat binatang itu. Walhal, kita, sebagai an-nas, yang lebih banyak mempelajari sesuatu yang baru dengan tingkahlaku haiwan yang ada, dan kita akan cuba membalikkan situasi itu dengan pengadaptasian di dalam dunia manusia.

            Mentaliti manusia mudah disogok dan disumbatkan dengan stereotaip yang hanya akan melihat kepada kepentingan diri sendiri dalam melepaskan diri dari masalah. Jika orang lain buat jahat, mereka selalunya akan menyalahi orang lain akan tetapi di dalam situasi sebegitu, jika manusia yang buat jahat, dan mereka malu tentang perkara itu, mereka akan tetap menyalahi pihak lain, yakni binatang. Manusia akan terus bersifat seperti binatang jika ramai yang menggunakan terma sebegitu. Maka, secara tidak langsung, dalam tidak sedar, mereka juga mengiyakan dan membenarkan Teori Evolusi yang sudah lama dikecam teruk kerana menyifatkan sebagai satu teori yang terpesong.






           


1 comment:

Anonymous said...

pakar agung charles darwin.m0re 2 pakar propa ada la.lol..