Manusia Itu Binatang.
‘Homo Sapiens’, apabila
kita mendengar terma saintifik itu, kita dapat tahu bahawa itulah istilah yang
digunapakai untuk membuktikan kita ini adalah manusia. Tetapi, adakah terlintas
dan terdetik di dalam hati manusia itu sendiri bahawa kita juga digolongkan di
dalam kelompok mamalia, iaitu selari dengan kelompok binatang seperti beruk, orang utan dan sebagainya? Maka
tidak hairanlah jika di dada-dada akhbar sering terbit berita mengenai
kekejaman dan kebodohan manusia yang disifatkan sebagai berperangai seperti
binatang. Adakah melabelkan manusia yang kejam atau bodoh itu sebagai binatang
adalah satu frasa yang benar?
Sejarah lepas telah menunjukkan
bahawa, manusia telah terevolusi daripada mawas. Hal ini telah dibuktikan oleh
pakar agung di dalam bidang genetik yakni, Charles Darwin. Pada tahun 1858,
Darwin dengan bukunya, ‘The Origin’ telah
yang mengemukakan satu teori di
mana spesies yang hidup sekarang berasal dari spesies lain yang hidup di masa
lampau. Hal ini menunjukkan bahawa, kita telah terevolusi daripada spesis yang
telah wujud sejak zaman dahulu lagi, dan di dalam konteks teori ini, kita telah
terevolusi daripada mawas. Walau bagaimanapun, Teori Evolusi Darwin ini telah
dikecam hebat termasuk penganut agama seperti Islam dan Kristian yang lebih
memegang teguh kepada teori Creationism.
Namun,
itu bukanlah satu alasan kepada manusia sekarang ingin menggunakan frasa
‘binatang’ dan melabelkan ia kepada manusia lain. Memang tidak dinafikan binatang
akan dikaitkan dengan sifat mereka yang ganas, tidak berperasaan dan rakus di
dalam membuat tindakan. Akan tetapi, juga wujud sifat-sifat yang tidak mungkin
wujud di dalam sifat semula jadi manusia seperti mengetahui musuh akan tiba
walaupun berada jauh beribu batu. Mungkin ianya satu persepsi yang tidak jelas
mengenai manusia yang bersifat binatang itu. Manusia patut sedar bahawa
binatang atau haiwan itu hanya bertindak mengikut gerak hati dan tidak mengikut
akal kerana hanya itu yang membezakan manusia dan binatang.
Kes-kes
yang sering berlaku seperti pembunuhan, rogol, rompakan dan sebagainya yang
sering dijaja di dalam akhbar selalu melabelkan ‘manusia yang berperangai
seperti binatang’. Apakah bukti yang menyokong bahawa binatang selalu melakukan
pembunuhan, rogol dan rompakan? Menurut satu kes yang berlaku di Gua Musang,
seorang gadis, Nurul Hidayah Che Su, 18, telah disepak oleh lelaki yang tidak
dikenali sewaktu dia menunggang motorsikal sehingga dia terjatuh ke dalam selut
dan mengalami kecederaan di muka. Di dalam laporan itu, penulis telah
melabelkan sikap lelaki itu seperti binatang. Penulis telah menggunakan frasa
sebegitu sebagai tajuk untuk berita tersebut. Akan tetapi di dalam laporan itu
dia tidak langsung mengaitkan antara sikap binatang yang boleh dianggap
berkaitan dengan apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu. Penulis juga tidak
berjaya membuktikan bahawa wujud binatang yang boleh bertindak sekejam begitu.
Selain
itu, kes rogol juga selalu dikaitkan dengan nafsu binatang, seperti di dalam
kes di Shah Alam, pada tahun 2009, penulis artikel itu telah menulis “Dengan
berpaksikan hawa nafsu binatang, lelaki berusia lingkungan 30an itu seolah-olah
dirasuk iblis hinggakan tergamak melakukan perbuatan itu terhadap seorang nenek
yang sebaya usia ibunya.” Di sini kita dapat lihat, penulis melabelkan pelaku
salah itu sebagai manusia bernafsu binatang akan tetapi penulis juga melabelkan
pesalah itu seperti dirasuk iblis. Adakah dia ingin menceritakan bahawa
binatang yang bernafsu itu adalah iblis? Jika kita mengkaji sikap dan sifat
haiwan itu sendiri, ianya adalah respon daripada sistem biologi yang wujud di
dalam badan mereka sama seperti manusia akan tetapi yang membezakan kita dan
haiwan adalah akal.
Bukankah Allah telah berfirman di dalam Surah At Tiin, Ayat 4-5.“Sesungguhnya Kami telah
menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai
dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau
menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah
peringkat orang-orang yang rendah” . Jadi
mengapa kita perlu merendahkan martabat kita untuk berada di tahap yang sama
seperti binatang? Walhal kita perlu melihat sendiri kesalahan manusia itu
sendiri kerana ianya tidak ada perkaitan langsung dengan binatang juga ciptaan
Allah yang kaya dengan kelebihan tersendiri. Mungkin ada maksud tersirat yang
cuba Allah sampaikan kepada kita akan tetapi cuma kita yang mudah terleka dan
menyalahi orang lain jika kita ditimpa musibah.
Dalam
sedar tak sedar, manusia itu sendiri yang lupa mengenai asal usul tingkah laku
mereka. Setiap kali belajar mengenai
cara hidup di dunia ini, bukankan kita akan mengkaji tingkah laku binatang itu
sendiri dan akan dipraktikkan kepada tingkah laku manusia. Sebagai contoh yang
jelas, jika kita di dalam hutan, kita akan mempelajari bahawa sesuatu buah itu
beracun atau tidak dengan melihat burung yang memakan buah itu. Jika kelihatan
burung memakan buah itu, maka buah itu tidak mengandungi racun. Selain itu,
kita ambil contoh, kita sebenarnya mengikut cara monyet memakan pisang kerana
cara bukaan kulit pisang itu sendiri kita belajar daripada tingkah laku monyet
itu sendiri. Di sini jelas menunjukkan bahawa kita sebenarnya belajar tentang
ilmu dunia melalui perihal binatang yang sedia ada. Malah kita patut malu
apabila kita yang berakal ini tidak dapat membuat keputusan yang lebih elok
berbanding dengan binatang.
Agama
Islam juga telah mengajar kita mengenai erti mempelajari sesuatu daripada
haiwan. Seperti kisah agung yang telah diketahui ramai, mengenai pembunuhan
pertama di muka bumi ini yakni kisah pembunuhan Habil. Habil telah di bunuh
oleh saudara kandungnya sendiri, Qabil. Apabila Habil telah dibunuh, Qabil mula
mencari cara untuk menutupi mayat Habil. Dengan kuasa Allah, Qabil telah
diperlihatkan burung gagak yang mengorek tanah dan mengambuskan gagak yang
sudah mati lalu mengambuskan ia dengan menggunakan tanah. Di sini kita dapat
lihat bahawa kisah ini mengajar kita manusia masih memerlukan sesuatu untuk
membuat kita lebih arif tentang kehidupan. Malah kisah ini juga membuktikan
bahawa haiwan itu tidaklah menjadi satu simbol kekejaman dan keganasan tetapi
manusia itu sendiri yang kejam dan ganas.
Saluran National Geographic dan Animal Planet sering
menyajikan rancangan kepada khalayak mengenai tingkah laku haiwan. Di situ kita
dapat lihat adakah wujud persamaan persepsi manusia tentang keganasan manusia
dan juga binatang. Jika kita betul-betul menonton segala rancangan yang ada
itu, baru kita faham bahawa haiwan yang dimakan oleh haiwan lain itu hanya
mengikut naluri mereka, sama seperti kita memakan haiwan seperti ayam lembu dan
kambing. Cuma, manusia yang tersalah erti mengenai sifat-sifat binatang itu.
Walhal, kita, sebagai an-nas, yang lebih banyak mempelajari sesuatu yang baru
dengan tingkahlaku haiwan yang ada, dan kita akan cuba membalikkan situasi itu
dengan pengadaptasian di dalam dunia manusia.
Mentaliti
manusia mudah disogok dan disumbatkan dengan stereotaip yang hanya akan melihat
kepada kepentingan diri sendiri dalam melepaskan diri dari masalah. Jika orang
lain buat jahat, mereka selalunya akan menyalahi orang lain akan tetapi di
dalam situasi sebegitu, jika manusia yang buat jahat, dan mereka malu tentang
perkara itu, mereka akan tetap menyalahi pihak lain, yakni binatang. Manusia
akan terus bersifat seperti binatang jika ramai yang menggunakan terma
sebegitu. Maka, secara tidak langsung, dalam tidak sedar, mereka juga
mengiyakan dan membenarkan Teori Evolusi yang sudah lama dikecam teruk kerana
menyifatkan sebagai satu teori yang terpesong.