pengikut

Thursday, August 18, 2011

Kucing Gelap [part 6]


Share/Bookmark

PAANGG!!

Kedengaran jelas pasu yang terhiasnya bunga raya itu pecah jatuh berderai. Bukan kerana dek diusik kanak-kanak kecil mahupun disentuh oleh pupukan bayu sang angin. Pasu yang tidak pernah bergoyang itu terjatuh apabila seekor kucing tercampak kearah pasu itu hingga menyebatkan pasu itu terjatuh dari tempat asalnya. Bukan sekali, tetapi sudah banyak kali kejadian ini terjadi sehingga manuisa yang tinggal di kawasan taman itu pun sudah tidak ambil kisah jika terdengar pasu jatuh dan berderai pecah.

Sekumpulan kucing ganas mula menerpa ke arah kucing yang kesakitan itu, mereka mula mengelilingi kucing itu, bunga dan tanah yang bersepah itu dipihak-pijak seperti tanpa rasa bersalah dengan apa yang mereka lakukan itu. Kemudian kelihatan satu kaki mula menghinggap di muka kucing yang kesakitan itu. Kucing yang lemah itu tidak mampu bergerak dan hanya mengiuskan kaki-kakinya seperti mahu meminta tolong.

‘Kau nampak mana Selibut pergi!’

Ya!Itulah suara Jagoan, ketua di lorong gelap di taman itu yang kuat pengaruhnya. Dia menjerit berulang kali mengulangi soalan yang sama.

‘Aaa..aku..aku tak nampak dia Jagoan. Di..dia sudah lama hilang dari kawasan kami’

Jawab perlahan daripada mulut kucing yang terdampar kesakitan itu yang juga salah seorang konco lama Selibut tetapi kini sudah kembali mengikut arahan Mantera.

‘Dengar cerita Mantera arahkan dia untuk mengambil kepala aku ini? Hah! Mana dia! Aku tunggu!’

Jagoan telah mendapat tahu tentang perkhabaran di mana Mantera telah mengarahkan Selibut untuk mengambil nyawa Jagoan serta memenggal kepalanya sebagai bukti kepada Mantera. Akan tetapi apa yang tidak diketahui oleh si Jagoan adalah Selibut tidak pun mengambil cabaran yang diberi oleh bapanya Mantera sebagai satu cabaran yang betul. Malah Selibut tidak terlintas langsung untuk bergaduh mengalahkan Jagoan.

‘Jagoan...Selibut dah hilang lama dari tempat kami. Malah ada yang cakap dia sudah meninggalkan kumpulan kami. Kami hanya mengikut arahan Mantera sahaja sekarang.’

Sambung kucing yang masih berada di bawah tapak kaki Jagoan itu. Muka Jagoan seakan-akan terkejut mendengar berita itu. Adakah ia satu gurauan ataupun sindiran? Ataupun ia adalah satu muslihat untuk menjatuhkan Jagoan dan konco-konconya. Jagoan tidak percaya malah dia semakin marah apabila kucing itu memberitahu tentang perkara itu.

‘Selibut dan Mantera akan menerima nasib yang sama macam kau, KUCING JALANAN!’

Herdik Jagoan sambil memijak semakin lama semakin kuat kepala kucing itu, sehingga kedengaran bunyi tulang pecah dan merekah. Kucing yakni konco sang Mantera mula mengerang kesakitan, tetapi kaki-kakinya telah dipijak oleh kucing-kucing lain. Jagoan makin kuat memijak tengkorak kepala kucing itu sehingga mengalir darah menerusi hidung dan telinga kucing itu. Kucing itu, mati kelayuan terkujur bangkainya itu di tepi jalan. Memang tak dapat dinafikan tenaga dan kuasa yang ada pada Jagoan itu.

Kucing yang mati itu kelihatan sungguh azab sekali disaat hembusan terakhirnya. Dia mengalami tengkorak yang pecah akibat dipijak, serta darah terkeluar menerusi telinga dan hidungnya. Kedua-dua biji matanya seakan-akan tersembul keluar dari soket matanya. Mungkin itu yang mahu ditunjuk oleh Jagoan, jangan sesekali berurusan dengan dia jika urusan itu seperti menempah kubur sendiri. Jagoan berlalu pergi tanpa rasa sedikit kesal tentang perbuatannya itu.

Kumpulan kucing itu mula meninggalkan bangkai kucing itu. Beransur seekor demi seekor melihat keadaan bangkai itu, sungguh kejam dan zalim tindakan Jagoan itu. Tetapi tiada seekor pun yang mampu membantah arahan Jagoan itu malah ada juga yang sokong sepenuhnya apa yang Jagoan buat itu. Mereka semua beredar dari kawasan itu mengikut kemana sahaja arah Jagoan selepas ini. Tapak Jagoan mula laju menuju ke kawasan Mantera.

Suara-suara belakang mula kedengaran yang mengatakan mungkin akan terjadi gaduh besar hari ini. Konco-konconya mula resah gelisah kerana mereka semua tidak bersedia untuk bertarung pada hari ini. Akan tetapi mereka tetap akur tunduk kepada arahan Jagoan meskipun membawa ajal kepada diri sendiri. Itulah yang menunjukkan kesetiaan kepada ketua walau sekejam mana ketua itu, mereka masih berada di belakang dan menyokong ketua itu.

‘Kau semua masih mengikut aku? Kau semua masih setia taat pada perintah aku?’

Kata Jagoan sinis kerana kelihatan konco-konco dan anak-anak buahnya mula gelisah seperti cacing kepanasan apabila mereka makin menghampiri kawasan Mantera. Jagoan tidak langsung menunjukkan perasaan gentar mahupun takut malah dia seperti beria-ia untuk bertarung pada petang hari ini.

‘Ka..kami masih setia dengan kau Jagoan.Ja..jangan risau.’

Terketar-ketar jawapan yang diberi oleh salah seorang daripada mereka. Walau apa pun keputusan yang dibuat oleh Jagoan mereka pasti akur kerana jika tidak nasib mereka akan sama seperti kucing yang mati sebentar tadi. Walau apa sekali pun arahan yang diberi oleh Jagoan mereka pasti laksanakan ibarat mereka itu tiada roh tetapi seperti satu tentera boneka aturan dan arahan yang direka oleh Jagoan sendiri.

‘Berani kau masuk ke kawasan aku ya Jagoan!’

Monday, August 8, 2011

Kucing Gelap [part 5]


Share/Bookmark

Selibut dapat merasakan yang kepulan asap mula memerangkap tubuhnya. Setiap sedutan nafas dia, asap itu akan turut serta memasuki ke dalam rongga badan Selibut. Selibut mula mengerang kesakitan. Kedengaran tulang-tulang Selibut seperti merekah retak dan berderak, urat muka Selibut timbul dan berdenyut. Suara Selibut mula bertukar garau dan semakin kuat dia mengiau kesakitan.Adakah ini pembalasan yang dia perlu hadapi setelah apa yang dia lakukan selama ini.

Segala dosa-dosa silamnya seakan terpancar di hadapan Selibut. Bagaikan papan putih menayangkan segala cerita-cerita wayang gambar bergerak. Selibut begitu jelas dengan apa yang dia lihat, segala apa dosa salahnya yang dia lakukan, segala kekejaman dan penganiayaan yang dia lakukan. Muka Selibut bercampur takut dan sakit. Jantungnya berdegup laju, nafas naik turunnya semakin rancak.

‘Maafkan aku semua!Maafkan aku!Aku tak kan mengulangi apa yang aku akan buat!Ya Tuhan!Ampunkan dosa aku!’

Bentak sang Selibut, dia begitu menginsafi dengan segala perlakuannya sebelum ini. Dia menitiskan air mata kekesalan. Kesakitan yang dialaminya itu benar-benar membuka matanya tentang apa yang selama ini dia lakukan. Tiada gunanya menjadi seekor kucing yang liar, ganas digeruni tetapi hakikat dia hanya dimaki dan dibenci.

‘Kucing tua! Henti kan semua ini! Aku tak sanggup menanggung keperitan ini lagi’

SPLASSH!!

Air dijirus ke tubuh Selibut.

‘Aku sudah selesai berubat 10 minit yang lalu Selibut’

Kata kucing tua itu perlahan sambil menepuk muka Selibut supaya Selibut sedar daripada lamunannya. Muka Selibut kebingungan dan kucing tua itu seakan menahan gelaknya.

‘Habis, kenapa aku merasakan kesakitan itu sungguh lama?

Tanya Selibut yang kebingungan, kerana Selibut pasti dia masih merasakan asap-asap yang memasuki badannya itu sungguh lama dan sungguh menyakitkan.

‘Itu hanyalah bayangan kau saja anak muda. Kau pengsan ketika aku mengubati kau. Kini kau benar-benar pulih’

Tersenyum sinis kucing tua itu menjawab sambil mengemas barang-barang ubatannya. Kelibat Manja dihujung jambatan samar-samar kelihatan, dia hanya memerhati dari jauh apa yang telah terjadi pada Selibut. Manja masih lemah dan demam kuat. Dia tidak terdaya untuk berada disebelah Selibut dan mengucapkan syukur dan tahniah kerana sudah pulih daripada kesakitan rohani dan jasmani yang dialami oleh Selibut.

Manja tersenyum tanda syukur, dia berterima kasih kepada tuhan dapat menemukannya dengan Selibut. Selibut telah memberi Manja satu sebab untuk dia tidak mahu berputus asa dengan kehidupan. Manja cuba untuk bangun, tetapi dia rebah kembali. Kucing tua itu berkali-kali ingin mengubatinya, tetapi Manja enggan diubati oleh bapanya kerana die pernah berkata, hanya Selibut boleh mengubati sakitnya itu.

Selibut mula bergerak bebas, dia tidak lagi terhincut-hincut seperti dahulu. Bulunya bersih dan molek rupa parasnya. Cuma yang tinggal hanya parut yang disemadikan dimukanya itu. Biarlah parut itu menjadi satu kenangan hitam di dalam hidup Selibut. Selibut menjilat membersihkan bulu-bulunya, dia dapat merasakan die seperti hidup semula dan diberi nyawa kedua. Selibut lupa seketika kewujudan Manja yang sedang sakit itu, dia hanya mementingkan kesihatannya sendiri. Dia leka bermain dan berlari di sekeliling kerana begitu girang kerana tubuhnya sudah sihat.

Kemudian kedengaran suara lemah memanggil Selibut. Selibut mula memalingkan kepalanya kearah suara itu. Kelihatan Manja berjalan menuju ke arah Selibut dalam keadaan begitu lemah. Selibut terdiam seketika, dia baru teringat tentang kewujudan Manja itu. Dia mula menolong Manja berjalan, dia memapah dan berada di sebelah Manja.

‘Saya gembira awak sudah sihat Selibut...’

Sayup-sayup kedengaran suaranya menembus ke dalam telinga Selibut. Selibut masih mendiamkan diri. Selibut membawa Manja berjalan-jalan disekitar jambatan itu kerana ingin memastikan Manja juga sihat seperti sedia kala. Biarkan Manja mula menghirup udara segar disekitar kawasan itu. Selibut mula berasa kasihan terhadap apa yang telah terjadi kepada Manja dan dia merasakan apa yang terjadi kepada Manja adalah atas kesalahan dan kebodohannya sendiri.

‘Awak tahu Selibut, saya memang yakin yang awak akan kembali....kerana ada hikmah disebalik perkenalan kita yang unik ini.’

Manja berkata kembali dan secara tiba-tiba, Selibut menghentikan langkahnya. Dia tidak menyangka Manja akan berkata sedemian lagi. Kata-katanya sudah lama menghantui mimpi-mimpi malam Selibut. Dia sendiri tidak tahu mengapa kata-kata itu sering muncul di benak otaknya dan kini, Manja menyebutnya kembali.

‘Ke...kenapa kau berkata begitu manja? Kau tahu tak, aku selalu bermimpi tentang kata-kata kau itu sedangkan kita baru kenal...’

Jawab Selibut terketar-ketar. Tetapi selepas Manja mendengar kata-katanya itu, Manja kelihatan terkejut dan secara tiba-tiba Manja tampak sedih. Selibut hairan, adakah dia tersalah kata?Adakah kata-katanya mengguris hati Manja?Dia sendiri pun tidak tahu mengapa Manja sedih. Manja tertunduk layu. Air mata menitis dan ternampak titisan itu di permukaan jalan.

‘Awak benar-benar lupa ya Selibut?Awak memang benar-benar tak ingat?....’

Friday, August 5, 2011

Kucing Gelap [part 4]


Share/Bookmark

Sepanjang perjalanan yang tidak ketahuan arahnya itu, Selibut hanya memikirkan nasib dan bala yang menimpa dia. Setiap langkah akan bertingkah bersama keluhan dan lelahan Selibut. Dia seperti sudah putus asa dengan hidupnya. Kucing mana yang tak sedih kalau dibuang tuan?Kucing mana tak sedih kalau dibuang keluarga? Hati siapa tak sediah kalau semua salah dituduh kepada kita walhal arahannya datang daripada tuan dan keluarganya.

Selibut sampai ke satu jambatan. Dia terhenti seketika, Selibut seakan-akan teringat tentang jambatan itu. Selibut berlari dengan terhincut-hincut ke arah jambatan itu. Kelihatan kepulan asap yang sama dia lihat tempoh hari. Kelibat dua ekor kucing siam kelihatan. Selibut menghampiri mereka. Sah! Itulah jambatan yang dilawati tempoh hari di mana dia telah di bawa oleh seekor kucing betina.

Selibut memerhatikan dua ekor kucing itu dari jarak jauh. Satu sedang memerhati, satu lagi sedang terbaring sakit. Selibut semakin berani menghampiri mereka. Selibut tahu yang dia telah meninggalkan dua ekor kucing itu gantung tanpa bertali, meninggalkan mereka tanpa sebab. Selibut berfikir dua tiga kali sama ada untuk menegur atau tidak dua ekor kucing itu.

‘Kau dah pulang Selibut?’

Ujar kucing tua itu walau tanpa menoleh ke belakang.

‘Mana kau tahu ini aku?’

‘Kau tak potong misai kau.maka kau tahu hendak balik ke tempat asal kau. Malah aku boleh bau kehadiran kau, kau sudah lupa?aku kan kucing’

Selibut menghampiri kucing tua itu dan memerhatikan anak kucing tua itu, Manja sedang sakit teruk.

‘Sejak kau tinggalkan dia, dia demam teruk’

Kucing tua mula bersuara kembali. Kucing tua itu tidak marah tentang kehilangan Selibut tempoh hari, malah dia berterima kasih kerana datang kembali ke sini. Dia begitu yakin dengan diri Selibut yang Selibut akan kembali untuk melawat mereka. Kucing tua itu mula menjilat dahi Manja dan memberitahu Selibut sudah pulang.

Manja membuka matanya perlahan-lahan, lantas mengukirkan senyuman. Terpancar indah serinya di mata berwarna biru Manja itu apabila melihat Selibut sudah kembali kepangkuangnya. Manja cuba ingin bangun dan memeluk Selibut, tetapi tubuhnya seperti diletakkan batu ke atasnya, dia begitu tidak larat dan kelihatan tenat.

‘Maafkan aku Manja, bukan niat aku untuk meninggalkan kau sedemian rupa. Aku mahu pulang ke rumah aku, tapi akhirnya, aku dibuang oleh darah daging aku sendiri, oleh bapa aku sendiri!’

‘Sabarlah selibut, kini, jadikanlah bawah jambatan ini sebagai rumah baru kau, akanku pulihkan kesihatan kau itu wahai kucing muda’

Jawab kucing tua itu kepada Selibut selepas Selibut memerhatikan Manja yang tidak memberi sebarang jawapan. Selibut mengucapkan terima kasih kerana telah menyelamatkan nyawa dia tempoh hari dan kini, memberi dia tempat berteduh dan tempat berlindung. Selibut berjanji akan menjaga mereka dan bertanggungjawab ke atas Manja dan kucing tua itu.

Kucing tua menarik Selibut ke suatu tempat, di hujung jambatan untuk berbincang berkenaan Manja. Selibut seakan takut dengan kucing tua itu, kerana kucing tua itu semacam ada satu aura yang boleh menjadikan kucing lain tunduk padanya. Selibut hanya berani mengangguk dan mengiyakan apa yang dikatakan oleh kucing tua itu.

‘Selibut, selepas aku mengubati kau, aku akan perturunkan segala ilmu pertempuran kepada kau, kerana aku tiada sesiapa lagi. Manja pula tidak berminat langsung dengan apa yang aku ada. Aku pula sudah terasa malaikat maut mahu memanggil aku.’

Selibut mengangguk faham. Kucing tua berlalu pergi dan mula perasapkan segala perkakasnya untuk memulakan upacara pembersihan diri Selibut. Selibut mengekori kucing tua itu dan memerhati tingkah laku kucing tua tersebut. Kucing tua itu menyelimutkan kembali anaknya, Manja.

‘Tidurlah Selibut, besok hari, kita mulakan upacara’

Selibut mula melabuhkan diri, sekelip mata, Selibut dapat melelapkan matanya kerana kepenatan berjalan seharian. Mimpi Selibut berulang lagi, lagu dodoian ibunya tenang bermain dikotak mimpinya.

‘Hai sang putera, usah takut untuk terlena, aku menjaga kau wahai putera, walau aku sudah tiada, Jangan kau bimbang untuk menangis, akan ku sapu segala tangis, senyumlah sayang jangan kau bengis. Usah kau ragu untuk ketawa, hidup kita untuk dimanja, bukan mencari harta dan kuasa, marilah tidur wahai putera....’

Lagu itu terus rancak bermain, menemani tidur enak Selibut. Tiba-tiba..

‘Mungkin ada hikmah disebalik perkenalan kita yang unik ini!’

Dia pun tersentak tersedar. Kemudian, dia terus terduduk memikirkan tentang mimpinya. Dia tertanya-tanya kenapa ayat Manja itu sering bermain-main difikirannya. Selibut melihat dari jauh, ada kepulan asap yang tebal bersama kucing tua itu mengelilingi asap itu. Dia menghampiri kucing tua itu.Kepulan asap makin kuat, bau kemenyan seakan-akan memenuhi ruang di sekitar bawah jambatan itu.

‘Hai petala setara alam, kau datang kau pulang, aku bawa hajat kau, aku bawa habuan kau, tulang ikan emas hadiah bunian, tulang ayam kampung hadiah saka, jangan kau takut berdamping sini, aku hanya ingin berkongsi’

Berulang kali jampi serapah keramat itu terkumat kamit di mulut kucing tua. Selibut semakin lama semakin takut dengan kelakuan kucing tua itu. Tapi, dia telah mengotakan janjinya untuk menurut segala apa yang dikatakan oleh kucing tua itu. Selibut memberanikan dirinya untuk bersebelahan dengan kucing tua itu.

Kucing Gelap [part 3]


Share/Bookmark

Ayah!aku dah balik!ayah!mana ayah?

Jerit Selibut di lorong jalan yang dijaga oleh konco-konco ayahnya, Sang Mantera. Selibut pelik, kemana hilangnya mereka semua. Jeritan dan suara Selibut semakin kuat memecah kesepian kawasan itu. Semakin jauh Selibut meniti senyap di lorong itu, dia takut kalau-kalau tempatnya telah di ambil oleh Sang Jagoan.

Muncul kelibat kucing perang bermuka garang keluar daripada tong sampah. Muncul lagi dua ekor kucing kembar berwarna jingga bermuka suka. Mereka mula mengepung Selibut sambil ketawa dan mengiau dengan suara garau seperti memberi isyarat kepada kucing lain. Dalam redup petang itu, gerimis hujan yang tiada habisnya itu, muncul dari tengah lorong gelap itu, Mantera keluar diapit rapat oleh pengikut setianya.

Semua pengikut setianya itu sujud tanda hormat kepada Mantera, Mantera mengangkat tangan seperti ketibaan Adolf Hitler untuk menyampaikan ucapan. Laungan keramat ‘Hidup Mantera, Hidup Mantera’ bersambung-sambungan. Selibut turut sama bersujud dan melaungkan kata-kata itu. Begitu gah segali Mantera sehingga diagung seperti tuhan, disanjung seperti dewa.

‘Ayah, aku kembali ayah’

Rintih Selibut terhincut-hincut berjalan ke arah Mantera.

‘Cis, berani kau memanggil aku ayah! Aku tak pernah punya anak penakut bacul pengecut seperti kau!’

Herdik Mantera kepada Selibut diselangi dengan ludahan tepat ke muka Selibut. Hina sungguh Selibut itu sehingga ayahnya sendiri sanggup melakukan perkara seperti itu. Selibut terkejut dengan kata-kata dan perbuatan Mantera. Gelak tawa disambut oleh pengikut-pengikut Mantera yang lain. Selibut makin bingung.

‘Mulai hari ini, kau jangan datang lagi di sini, melainkan kau datang membawa kepala Jagoan, jika tidak, nyah kau kucing jalanan!’

Cakaran oleh Mantera tepat mengenai mata Selibut membuatkan Selibut menjerit kesakitan. Tubuhnya di pegang oleh pengikut Mantera. Kemudian dia di cakar bertubi-tubi sehingga Selibut tertunduk dan terjatuh. Sakitnya hanya tuhan saja yang mengetahui, hanya diri sendiri yang tertanggung. Sebaik sahaja Selibut tidak melawan, kucing-kucing yang persis ibarat zionis itu mula beransur pergi. Mereka perlahan-lahan meninggalkan Selibut. Ayahnya hanya memandang dan menggelengkan kepala.

‘Ingat, kepala Jagoan!’

Kata terakhir Mantera sambil memijak kepala Selibut dan dia pun berlalu pergi.

Hari kian gelap,kian malap. Lampu jalan baru terbuka menunjukkan Maghrib akan menjelma. Tubuh layu Selibut kini mengesot ke salah satu lampu jalan untuk mengelak daripada di gilis motor atau basikal. Jalan itu adalah antara jalan pintas untuk manusia pergi ke surau di taman itu. Azan Maghrib berkumandang, dan kemudian motor dan basikal mula membanjiri lorong itu. Becak air hujan mula memercik di muka Selibut, dan dia hanya mampu berdiam diri.

Segala kenangan mula terbit daripada minda Selibut, kenangan dia dimanja oleh ibunya, disusukan oleh ibunya. Dia masih teringat akan waktu lalu, sewaktu dia kecil dan bagaimana ayahnya mengajar untuk bertarung seperti rakyat Sparta mengasuh anak mudanya. Ibunya cukup tidak suka, akan tetapi ibunya dianggap penghasil anak sahaja. Tidak ubah seperti pelacur jalanan.

Selibut mula mengerti apa yang dimaksudkan oleh ibunya setiap kali dia mahu tidur. Ibunya acap kali mendendangkan lagu untuk menidurkan anaknya itu.

‘Hai sang putera, usah takut untuk terlena, aku menjaga kau wahai putera, walau aku sudah tiada, Jangan kau bimbang untuk menangis, akan ku sapu segala tangis, senyumlah sayang jangan kau bengis. Usah kau ragu untuk ketawa, hidup kita untuk dimanja, bukan mencari harta dan kuasa, marilah tidur wahai putera....’

Selibut cukup merindui ibunya, sekejam mana perangai Selibut masih tersimpan sebuku perasaan kasih rindunya terhadap sang ibu. Bergenang air mata Selibut mengenangkan ibunya yang sudah tiada. Ibunya mati ditangan ayahnya sendiri akibat ibunya hendak membawa Selibut keluar daripada lorong gelap yang boleh memusnahkan masa depannya. Tapi semua sudah terlambat, ibunya tiada, masa depan Selibut sudah pun gelap segelap bulu hitamnya itu.

‘Mak, Selibut rindu mak!’

Jeritan dalam tangisan penuh kesyahduan memecah kesepian dilorong gelap itu. Lagu dodoian ibunya bermain-main di dalam minda Selibut. Selibut dapat merasakan kehangatan tubuhnya dipeluk oleh ibunya. Selibut memejamkan matanya sambil tersenyum. Lampu jalan yang memancar memanaskan badan Selibut menjadi saksi, betapa seksanya menjadi kucing buangan. Pergi sini disepak, pergi sana dipijak. Tiada siapa yang kasih, tiada siapa yang sayang.

Tin!Tin!Pon!Pon!

Pekikan hon kereta membingitkan telinga Selibut. Sudah pagi rupanya. Manusia sudah bangun mencari rezeki halal. Kucing bangkit mencari rezeki pemberian tuannya. Selibut? Mencari makan di tong sampah sebelum dikutip oleh majlis perbandaran, sebelum dibaling dengan kayu dan batu oleh kanak-kanak. Selibut terhincut-hincut meneruskan sisa-sisa hidupnya untuk bertarung dengan nyawanya sendiri.

Semakin jauh Selibut membawa diri, pelbagai kenangan Selibut harus lupakan di lorong gelap itu. Selibut bersumpah dia tidak akan menjejakkan kakinya di lorong gelap yang pernah dia panggil rumah itu. Walau ayahnya berkata untuk memberikan keistimewaannya kembali apabila membawa kepala Jagoan, Selibut tidak akan turutkan. Jangankan kepala Jagoan, kepala tikus sendiri pun Selibut tidak mahu bawakan.

Bukannya Selibut pengecut, tetapi, daripada dia bergaduh dan berbunuhan, baik dia mulakan hidup baru, lagipun sewaktu di lorong gelap kelmarin, Selibut dapat merasakan yang ayahnya ingin membunuhnya walau dalam apa cara sekali pun. Daripada menempah kubur sendiri, baik dia membawa diri.

Thursday, August 4, 2011

Kucing Gelap [part 2]


Share/Bookmark

Tik! Tik! Tik!

Hujan menitik lebat membasahi bumi. Segala titis-titis hujan telah memadam segala kesan kenangan yang telah dibuat di lorong itu. Tiada siapa yang boleh menyebut tentang perkara itu dan tiada siapa boleh mengingatkannya kembali. Jagoan masih memegang takhtanya manakala Mantera masih menutup malu kerana kekalahan anaknya itu dan sebab itulah dia tidak mahu sesiapa mengungkitkan perkara itu lagi.

Kelihatan Selibut resah gelisah, berguling tidak tentu arah. Kedengaran suara Selibut seakan-akan mengerang dan berkumat-kamit.

‘Mungkin ada hikmah disebalik perkenalan kita yang unik ini’

Berulang kali ayat itu bermain di mimpinya.

Pang!

Selibut tersedar dan tersentak akibat bunyi guruh yang kuat.

‘Ah!sakitnya!’

Selibut melihat badannya diselaputi dengan daun-daun diikat rapi dengan akar-akar kayu. Dia cuba untuk bangun dan berjalan, tetapi kaki kiri depannya patah dan menyebabkan die berjalan terhencut-hencut. Dia cuba ingat kembali apa yang berlaku kepada dirinya. Tetapi semuanya samar-samar dan kabur.

Selibut terduduk mengingatkan kata-kata yang bermain di mimpinya itu. Dia kebingungan lalu menghentak-hentakkan kepalanya di dinding.

‘Sabarlah anak muda. Aku tahu kau dalam kebingungan. Aku dapat rasakan degupan jantung kau yang laju itu,tenang anak muda,tenang’

Kata-kata kucing tua yang tiba-tiba datang di belakangnya itu. Selibut terkejut dan menendang segala ubat-ubat yang ada disekitarnya.

‘Kau siapa kucing tua? Mengapa aku ada di sini?’

Kata Selibut dalam muka yang cemas.

‘Kau selamat di sini. Usah risau, usah khuatir, anakku telah menceritakan semuanya kepadaku’

‘Oh.anak betina kau itulah yang selamatkan aku?Sekarang baru aku jelas tapi kenapa?’

‘Kenapa kau cakap?Siapa yang tidak kenal kau wahai Selibut, anak sang Mantera ketua kawasan yang terkenal segenap halaman’

‘Kau.....kau kenal aku?’

‘Bukan aku sahaja, malah segala musuh-musuh kau Selibut! Kau telah diselamatkan oleh anakku si Manja daripada serangan dan gigitan rakus musuh-musuh kau’.

Selibut terduduk dan terkejut. Dia hanya berdiam diri dan memikirkan nasibnya jika dia tidak diselamatkan oleh Manja. Iya, memang benar Selibut mempunyai begitu ramai musuh berbanding kawan. Manakan tidak, sepanjang hidupnya dia hanya diasuh untuk bergaduh, bermusuh dan berperang. Naluri Selibut sudah pun sebati dengan perkara yang melibatkan kekejaman. Sudah banyak nyawa kucing-kucing tewas ditangan Selibut, begitu juga perawan sang betina-betina yang telah dirobek oleh Selibut.

Selibut memang kejam! Dia langsung tidak mempunyai sikap perikebinatangan. Tidak pernah kasihankan kucing-kucing lain, dia hanya mementingkan diri dan tamakkan kuasa. Akan tetapi, kuasa tidak mungkin membawa dia kepada kebahagiaan. Lihat dirinya sekarang, berselubung dengan kesakitan dan kepedihan.

‘Aku mahu pulang!aku mahu jumpa ayah ku!’

Herdik Selibut kepada kucing tua itu. Dia langsung tidak mengendahkan kata-kata kucing tua itu dan apa kucing tua itu cuba lakukan kepadanya. Dia hanya mahu pulang ke rumahnya. Lantas dia mencabut segala daun-daun yang terikat dibadannya lalu berlarilah terhincut-hincut sang Selibut di dalam lebatan hutan.

‘Ayah!Kenapa ayah biarkan Selibut melarikan diri?’

Tiba-tiba manja bersuara kerana terdengar herdikan Selibut. Manja yang sedang mencari makanan di belakang bingkas lekas berlari cuba mengejar Selibut, tetapi apakan daya, hujan menghalang pemandangannya. Selibut hilang dalam kabus hujan yang lebat.

‘Biarkan dia Manja, dia belum kenal erti susah, belum kenal erti hidup yang sebenarnya’

Kata kucing tua itu dengan tenang.

Mata Manja bergenang ditemani rintik-rintik hujan.

Kata mu akan ku kota, janji mu akan ku setia, walau kita seusia muda, akan ku tunggu kau sehinnga ku tua. Manis kata mu tiada terperi, indah wajahmu ibarat mentari, bulan mengambang kan ku beri. Sebagai bukti cinta sejati

Titis air mata manja langsung tidak kelihatan kerana tubuhnya sudah lama dibasahi hujan. Memang Selibut itu kejam, bukannya mengharapkan balas, tetapi cukuplah sekadar ucapan terima kasih. Manja menjilat dan mengurut lembut kakinya yang terluka semasa dia menyelamatkan Selibut. Kucing tua hanya memerhatikan dari jauh kelakuan anaknya itu.

Kucing tua berjalan perlahan menuju kepada anaknya apabila hujan sudah berhenti. Manja menggigil kesejukan dan nama Selibut tersebut-sebut di bibir hitam manisnya itu. Memang keturunan kucing siam ini tidak pernah mengenal erti putus asa untuk menunggu Selibut sang kucing hitam itu. Kucing tua membaluti tubuh Manja dengan sehelai kain ungu usang untuk memanaskan badan Manja. Kucing tua hanya menggelengkan kepala lalu pulang ke bawah jambatan.

SKREEETTT!

Dia hampir digilis kereta yang meluncur laju di sebelahnya. Mujur kain yang dibaluti oleh kucing tua itu berwarna terang, pemandu kereta itu dapat mengelak daripada terlanggar Manja. Pemandu itu berhenti dan melihat keadaan Manja. Lalu pemandu itu meletakkannya kembali di bawah jambatan bersama kepingan roti. Kucing tua hanya menunduk dengan perasaan hormat dan menggeselkan kaki pemandu itu tanda terima kasih.

Pemandu itu mengusap kepala kucing tua itu dan kepala si Manja.

‘Kenapa kau berdua duduk di bawah jambatan ini, siapalah yang sanggup membuang dua kucing comel ini’

‘Aku mahu cepat ya sayang, kalau kita berjumpa lagi, aku janji akan bawa kau pulang’

Pemandu itu, ringkas berbaju kurung, hitam manis serta rambut ikal dilepaskan mencium kepala kedua ekor kucing itu. Lalu dia masuk ke dalam kereta dan meneruskan perjalannya.

Kucing Gelap [part 1]


Share/Bookmark


Tenang lengang kelihatan di suatu lorong gelap. Tiada siapa yang berani masuk di kawasan tersebut walaupun lorong itu adalah salah satu lorong di taman perumahan. Bukannya takut akan hantu pada waktu malam, malah bukan juga takut akan perompak, peragut atau penagih yang bersarang di situ. Hakikatnya, hantu, perompak, peragut dan penagih itu sendiri juga tidak berani untuk berada di lorong gelap itu.

Kedengaran bunyi cakaran yang mencakar di dinding dan papan-papan rumah penduduk di taman itu. Bunyi carikan yang menyakitkan telinga segenap penduduk serta boleh menakutkan kanak-kanak yang baru mahu terlena. Kelihatan bayang-bayang satu lembaga muncul di balik pasu bunga yang sudah layu bunga-bunganya. Mungkin, layu kerana takut untuk hidup kerana kalau mereka hidup, nescaya mereka hidup di dalam ketakutan.

Lembaga itu kemudian memunculkan diri. Nah! Seekor kucing rupanya. Kenapa begitu ramai yang tidak mahu melalui jalan ini, hakikatnya hanya seekor kucing yang menginap di kawasan tersebut. Ramai yang tidak tahu tentang kejadian berdarah 2 tahun lalu yang menyebabkan lorong itu dianggap berpuaka. Jika sesiapa yang baru masuk di kawasan itu dan bercakap semberono, maka mereka akan mendapat habuan sebaik sahaja mereka menamatkan ayat terakhir mereka. Dahsyat bukan?

Kucing itu berjalan terhencut-hencut dan melompat untuk memanjat sebuah tembok di salah satu rumah di taman tersebut. Dia kemudiannya menjilat-jilat jari dan membersihkan badannya yang berbulukan gelap hitam itu. Kelihatan rupa kucing itu tersangatlah uzur dan tenat bersama mukanya yang sangat murung. Badan-badannya penuh dengan calar balar seperti seseorang baru pulang daripada berperang.

Kucing itu tertunduk sayu. Angin sepoi-sepoi bahasa menemani dia bersama matahari memancar tepat di matanya. Sinaran itulah yang memberi bahagia kepadanya dan angin itulah yang memberi nafas baru kepadanya. Matanya berkaca dan bergenang, seperti kenangan lalu telah menggamit perasaannya kembali. Kucing itu makin tertunduk layu, seperti menanti saat-saat akhir usianya.

*dua tahun yang lalu*

PANG!

Pasu yang tertanamnya bunga yang mekar dan harum itu pecah berkecai akibat pertelingkahan antara dua ekor kucing jantan yang cuba merebut kawasan. Habis tanah, baja dan bunga berselerakan di jalanan. Kelihatan juga titis-titis darah yang memercik di dinding-dinding rumah. Bunyi kucing mengiau semakin lama semakin garau.

‘Ini kawasan aku!Jangan kau berani mengambil kawasan aku!’

Kata ketua kawasan itu, Jagoan.

‘Ah apa aku peduli, kau dah tua!sedar diri sikit!’

Balas pendatang baru itu, Selibut, sambil membalas cakaran Jagoan.

Jagoan terpaksa bertarung bermati-matian untuk pertahankan kawasan jagaannya selama 2 tahun itu. Kedatangan Selibut yang tak diundang itu adalah kerana Selibut merupakan anak kepada Mantera, ketua kawasan taman sebelah dan geng mereka ingin mengambil alih kawasan itu. Mantera yang begitu berdendam dengan Jagoan sejak mereka kecil lagi ketika mereka berguru lagi. Akan tetapi bagai cerita dongeng biasa, ada yang baik, maka timbullah yang iri hati.

Mantera mengasuh anaknya, Selibut untuk menundukkan geng Jagoan serta berhasrat untuk mengambil alih kawasan Jagoan. Akan tetapi, ilmu sang Selibut adalah tidak setara sama sekali dengan Jagoan. Cakaran yang terakhir di panggil ‘libasan cakar mengkudu’ telah menundukkan Selibut dan melumpuhkan hampir separuh badannya.

Sorakan disambut dan disertakan bersama kucing sekitarnya melaungkan kata-kata semangat kepada Jagoan.

‘Hidup Jagoan! Hidup Jagoan!’

Kemudian anak buah Jagoan telah mengangkat tubuh Selibut yang tidak bermaya itu dan meletakkannya di sebelah tong sampah.Begitu hina sekali diri Selibut diperlakukan keatas. Selibut hanya menunggu kedatangan konco-konco ayahnya untuk membawa dia pulang kepangkuan keluarganya.

Hari demi hari Selibut menunggu kedatangan sahabatnya, akan tetapi hanya perasaan hampa yang dia dapat. Kesakitannya tidak tertanggung, malah lapar dan dahaga tidak dapat dibendung. Selibut hanya pasrah kepada tuhan, jika ini hari terakhirnya, maka biarlah dia pergi dengan aman. Sebaik saja Selibut habis berdoa bersama titisan air mata, muncul seekor kucing betina melintas di hadapannya.

‘Ah, terkejut saya, apa awak buat di sini?

Sang betina menyoal sopan kepada Selibut.

Selibut tidak mampu berkata-kata, akan tetapi raut wajah selibut telah memberi 1001 jawapan kepada sang betina itu.

‘Tak mengapalah, biar aku bawa kau pulang, nanti, ayah ku akan ubatkan awak’

Sang betina itu meletakkan Selibut di atas kepingan kotak dan mula menarik tubuh lesu Selibut. Kemudian dengan menggunakan sepenuh tenaga sang betina itu mula menarik kotak tersebut menggunakan mulutnya. Selibut hanya mampu berdiam diri walau di dalam hatinya tersimpan penuh rasa kasihan. Terhenti seketika sang betina menarik kotak itu, dia mengambil nafas segar untuk menyambung membantu Selibut.

‘Tak mengapa, aku tak kisah membantu awak, mungkin ada hikmah disebalik perkenalan kita yang unik ini’

Kata sang betina lantas tersenyum dan mempamerkan sejuta kemanisan di mukanya. Tubuhnya yang bersih bercorakkan tompok si kucing siam menyambung menarik tubuh Selibut. Akhirnya mereka sampai di bawah satu jambatan. Setibanya di kawasan itu, kepala Selibut mula berpinar, Selibut hanya sempat melihat satu kepulan asap dan melihat seekor kucing tua yang sedang menghampiri dirinya. Lalu Selibut pengsan akibat kehilangan darah yang banyak.

Tuesday, August 2, 2011

najis diri.


Share/Bookmark
duniawi alpa realiti ku melupa.
kertas muka agung jadi tuhan dunia.
syaitan gelak kencing kan kepala.
aku?bodoh.lupa segala ajaranNya

aku rindu tikar sejadah.
berkhalwat sendiri.
terus bersujud menyembah.
tadah tangan doa persembah.

aku rindu ujian Mu.
aku hampir lupa tentang Mu.
aku makin kuat berselawat.
tapi aku lupa.maka aku mencarut aku dengan kata kesat.

sedih merintih menangis tertangis.
Allah sentiasa wujud.
cuma aku kian menjauh.
kenapa aku bodoh?

air wudhuk kian kering.
dibasahi maksiat berpeluh likat.
merah darah tak mungkin dapat ganti.
sesuci mutlak air di cuci.

Allahuakbar.
takbir pertama menggigil menggelupur.
Assalamualaikum.
salam terakhir aku sujud syukur.

tadah tangan.
baru ku tahu erti peminta sedekah.
harap dari pemberi.
berusaha menjadi hamba yang sejati.