pengikut

Friday, August 5, 2011

Kucing Gelap [part 3]


Share/Bookmark

Ayah!aku dah balik!ayah!mana ayah?

Jerit Selibut di lorong jalan yang dijaga oleh konco-konco ayahnya, Sang Mantera. Selibut pelik, kemana hilangnya mereka semua. Jeritan dan suara Selibut semakin kuat memecah kesepian kawasan itu. Semakin jauh Selibut meniti senyap di lorong itu, dia takut kalau-kalau tempatnya telah di ambil oleh Sang Jagoan.

Muncul kelibat kucing perang bermuka garang keluar daripada tong sampah. Muncul lagi dua ekor kucing kembar berwarna jingga bermuka suka. Mereka mula mengepung Selibut sambil ketawa dan mengiau dengan suara garau seperti memberi isyarat kepada kucing lain. Dalam redup petang itu, gerimis hujan yang tiada habisnya itu, muncul dari tengah lorong gelap itu, Mantera keluar diapit rapat oleh pengikut setianya.

Semua pengikut setianya itu sujud tanda hormat kepada Mantera, Mantera mengangkat tangan seperti ketibaan Adolf Hitler untuk menyampaikan ucapan. Laungan keramat ‘Hidup Mantera, Hidup Mantera’ bersambung-sambungan. Selibut turut sama bersujud dan melaungkan kata-kata itu. Begitu gah segali Mantera sehingga diagung seperti tuhan, disanjung seperti dewa.

‘Ayah, aku kembali ayah’

Rintih Selibut terhincut-hincut berjalan ke arah Mantera.

‘Cis, berani kau memanggil aku ayah! Aku tak pernah punya anak penakut bacul pengecut seperti kau!’

Herdik Mantera kepada Selibut diselangi dengan ludahan tepat ke muka Selibut. Hina sungguh Selibut itu sehingga ayahnya sendiri sanggup melakukan perkara seperti itu. Selibut terkejut dengan kata-kata dan perbuatan Mantera. Gelak tawa disambut oleh pengikut-pengikut Mantera yang lain. Selibut makin bingung.

‘Mulai hari ini, kau jangan datang lagi di sini, melainkan kau datang membawa kepala Jagoan, jika tidak, nyah kau kucing jalanan!’

Cakaran oleh Mantera tepat mengenai mata Selibut membuatkan Selibut menjerit kesakitan. Tubuhnya di pegang oleh pengikut Mantera. Kemudian dia di cakar bertubi-tubi sehingga Selibut tertunduk dan terjatuh. Sakitnya hanya tuhan saja yang mengetahui, hanya diri sendiri yang tertanggung. Sebaik sahaja Selibut tidak melawan, kucing-kucing yang persis ibarat zionis itu mula beransur pergi. Mereka perlahan-lahan meninggalkan Selibut. Ayahnya hanya memandang dan menggelengkan kepala.

‘Ingat, kepala Jagoan!’

Kata terakhir Mantera sambil memijak kepala Selibut dan dia pun berlalu pergi.

Hari kian gelap,kian malap. Lampu jalan baru terbuka menunjukkan Maghrib akan menjelma. Tubuh layu Selibut kini mengesot ke salah satu lampu jalan untuk mengelak daripada di gilis motor atau basikal. Jalan itu adalah antara jalan pintas untuk manusia pergi ke surau di taman itu. Azan Maghrib berkumandang, dan kemudian motor dan basikal mula membanjiri lorong itu. Becak air hujan mula memercik di muka Selibut, dan dia hanya mampu berdiam diri.

Segala kenangan mula terbit daripada minda Selibut, kenangan dia dimanja oleh ibunya, disusukan oleh ibunya. Dia masih teringat akan waktu lalu, sewaktu dia kecil dan bagaimana ayahnya mengajar untuk bertarung seperti rakyat Sparta mengasuh anak mudanya. Ibunya cukup tidak suka, akan tetapi ibunya dianggap penghasil anak sahaja. Tidak ubah seperti pelacur jalanan.

Selibut mula mengerti apa yang dimaksudkan oleh ibunya setiap kali dia mahu tidur. Ibunya acap kali mendendangkan lagu untuk menidurkan anaknya itu.

‘Hai sang putera, usah takut untuk terlena, aku menjaga kau wahai putera, walau aku sudah tiada, Jangan kau bimbang untuk menangis, akan ku sapu segala tangis, senyumlah sayang jangan kau bengis. Usah kau ragu untuk ketawa, hidup kita untuk dimanja, bukan mencari harta dan kuasa, marilah tidur wahai putera....’

Selibut cukup merindui ibunya, sekejam mana perangai Selibut masih tersimpan sebuku perasaan kasih rindunya terhadap sang ibu. Bergenang air mata Selibut mengenangkan ibunya yang sudah tiada. Ibunya mati ditangan ayahnya sendiri akibat ibunya hendak membawa Selibut keluar daripada lorong gelap yang boleh memusnahkan masa depannya. Tapi semua sudah terlambat, ibunya tiada, masa depan Selibut sudah pun gelap segelap bulu hitamnya itu.

‘Mak, Selibut rindu mak!’

Jeritan dalam tangisan penuh kesyahduan memecah kesepian dilorong gelap itu. Lagu dodoian ibunya bermain-main di dalam minda Selibut. Selibut dapat merasakan kehangatan tubuhnya dipeluk oleh ibunya. Selibut memejamkan matanya sambil tersenyum. Lampu jalan yang memancar memanaskan badan Selibut menjadi saksi, betapa seksanya menjadi kucing buangan. Pergi sini disepak, pergi sana dipijak. Tiada siapa yang kasih, tiada siapa yang sayang.

Tin!Tin!Pon!Pon!

Pekikan hon kereta membingitkan telinga Selibut. Sudah pagi rupanya. Manusia sudah bangun mencari rezeki halal. Kucing bangkit mencari rezeki pemberian tuannya. Selibut? Mencari makan di tong sampah sebelum dikutip oleh majlis perbandaran, sebelum dibaling dengan kayu dan batu oleh kanak-kanak. Selibut terhincut-hincut meneruskan sisa-sisa hidupnya untuk bertarung dengan nyawanya sendiri.

Semakin jauh Selibut membawa diri, pelbagai kenangan Selibut harus lupakan di lorong gelap itu. Selibut bersumpah dia tidak akan menjejakkan kakinya di lorong gelap yang pernah dia panggil rumah itu. Walau ayahnya berkata untuk memberikan keistimewaannya kembali apabila membawa kepala Jagoan, Selibut tidak akan turutkan. Jangankan kepala Jagoan, kepala tikus sendiri pun Selibut tidak mahu bawakan.

Bukannya Selibut pengecut, tetapi, daripada dia bergaduh dan berbunuhan, baik dia mulakan hidup baru, lagipun sewaktu di lorong gelap kelmarin, Selibut dapat merasakan yang ayahnya ingin membunuhnya walau dalam apa cara sekali pun. Daripada menempah kubur sendiri, baik dia membawa diri.

No comments: